Sunday, August 9, 2009

. Kebajikan Sosial Dalam Konsep 1 Malaysia.


Mampukah kebajikan sosial rakyat diterapkan dalam konsep 1Malaysia dan adakah ciri-ciri kebajikan sosial menepati konsep 1Malaysia yang kini hangat diperkatakan di setiap corong media negara kita?. Secara ringkasnya, 1Malaysia adalah satu gagasan yang diilhamkan bagi memupuk perpaduan di kalangan rakyat Malaysia yang berbilang kaum. Ia berteraskan beberapa nilai-nilai penting yang seharusnya menjadi amalan setiap rakyat Malaysia.


Bertemakan “Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan” konsep 1Malaysia ini menyarankan bahawa kemajuan negara dapat direalisasikan dengan memberi tumpuan atau fokus keatas memajukan rakyat terlebih dahulu. Ini dapat dilakukan dengan memupuk sikap saling hormat menghormati dan “penerimaan” diantara kaum bagi membentuk perpaduan yang utuh. In sudah pasti akan membantu dalam kelancaran urusan pembangunan negara. Demi memastikan kesemua rakyat dapat menikmati kemajuan dengan sama-rata, keadilan sosial diterapkan dan menjadi teras kepada pembentukan perpaduan dalam konsep 1Malaysia. Keadilan sosial ini berfungsi untuk tidak meminggirkan mana-mana pihak dalam usaha negara mencapai status Negara Maju menjelang tahun 2020. Ini selaras dengan definasi kebajikan sosial yang bersifat holistik dimana segala program, aktiviti dan pembangunan manusia yang dijalankan adalah untuk masyarakat itu sendiri.


Kebajikan sosial merupakan aspek yang penting dalam pembangunan manusia. Menurut Johnson et al. (1997) yang menyatakan kebajikan sosial meliputi perancangan dan proses yang berkaitan dengan kaedah dan program yang mencegah dan memulihkan masalah sosial, membangunkan sumber manusia dan meningkatkan cara gaya hidup masyarakat. Pembangunan manusia yang dijalankan memberi penekanan terhadap institusi sosial dalam sesebuah masyarakat yang terdiri daripada institusi keselamatan, institusi keluarga, institusi pendidikan, dan institusi agama. Kesemua intitusi ini diberi tindakan dan ditangani masalahnya secara adil dan holistik kerana tiap-tiap institusi ini mempunyai ciri yang tersendiri dan institusi-institusi ini berkait diantara satu sama lain dalam mewujudkan model insan yang berkualiti tinggi. Dengan mempertingkatkan dan menjayakan sistem sosial negara, ia secara tidak langsung dapat membuatkan rakyat mampu bersaing dalam pasaran global serta menaikkan status ekonomi negara.


Secara kesimpulannya, dalam menjalankan sesuatu program mahupun aktiviti pembangunan, kerajaan haruslah mengambil kira konsep kebajikan sosial serta melibatkan semua bangsa bagi membentuk perpaduan yang jitu lagi tulin dalam masyarakat Malaysia yang berbilang kaum. Ini selaras dengan asas kepada 1 Malaysia, dimana ia dilihat sebagai satu pra-syarat dalam usaha memajukan negara. Oleh yang demikian, akan terbuktilah bahawa kebajikan sosial mampu diterapkan dan cirinya juga menepati konsep 1 Malaysia yang akan menerajui negara kearah kemajuan.

No comments:

Post a Comment